Iklan Sponsor

Iklan

Iklan Sponsor

Iklan

terkini

Orang Bugis di Pontian, Johor Malaysia

arung sejarah
, 20:47 WIB Last Updated 2023-06-10T16:23:49Z
Perkembangan Kemasyarakatan dan Kebangsaan (Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia), Orang Bugis di Pontian, Johor, Pembinaan Petempatan dan Masyarakat (Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia), Perantau dan Peneroka: Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia,

ARUNGSEJARAH.COM - Orang Bugis di Pontian, Johor Malaysia.

 

MENURUT Shahrum Hussin, kedatangan orang Bugis ke negeri Johor dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat. Peringkat pertama ialah pada abad 17 dan akhir abad 18 yang melibatkan kaum pedagang dan golongan bangsawan. Manakala peringkat kedua ialah pada abad 19, iaitu pada zaman pemerintahan Temenggong Abdul Rahman dan Ibrahim dan juga Sultan Abu Bakar. 

Pembangunan Singapura oleh British pada abad ini juga turut menjadi faktor yang  menggalakkan kedatangan mereka ke Johor. Selain dari Singapura mereka juga bertumpu ke kawasan Kukup (Kampung Chokoh), Benut (Pontian) dan Pengerang (Kampung Lepau) Batu Pahat. Berdasarkan kepada laporan bancian penduduk 1921 dan 1931 dalam jadual 2,  memperlihatkan jumlah bilangan orang Bugis yang meningkat, iaitu dari 7,026 orang kepda 8,983 orang (Nathan, 1922: 176).

Jadual 2: Perincian Penduduk Bugis Mengikut Daerah*

Pada tahun 1921 dan 1931

Daerah                    1921          1931

Johor Bharu                94              115
Muar                         577              469
Batu Pahat                195              3594
Segamat                        4                  4
Kota Tinggi              632              444
Kukup (Pontian)    5500            4318
Endau                        -                    39
    
Jumlah                 7,026        8,983

*  Sumber:   Nathan, 1922, 179; Vlieland, 1932: 176.

Antara tahun 1931-1947 dilaporkan bahawa jumlah penduduk Bugis berkurangan menjadi 6,080 orang kerana krisis ekonomi tahun 1930an dan akibat peperangan dunia kedua (Tunku Shamsul Bahrin, 1964: 135). Dari jadual di atas Daerah Pontian ternyata telah menjadi kawasan utama petempatan mereka. Namun pada zaman meleset dan peperangan ada antara orang Bugis yang balik semula ke tanah air mereka.

Pada umumnya penduduk Bugis aktif dalam kegiatan pertanian sebagai pekebun kecil yang mengusahakan penanaman kelapa dan kopi. Di daerah Batu Pahat dan Pontian, banyak terdapat kebun kopi dan kelapa. Manakala di Kukup mereka bergiat sebagai nelayan.

Pada zaman pentadbiran Temenggong Ibrahim dan Abu Bakar, setiap peneroka yang ingin membuka kebun dan kampung perlu mendapat kebenaran dari pejabat pemerintah. Biasanya setiap peneroka akan diberi surat kebenaran membuka kebun. Surat kebenaran ini kemudiannya dikenali sebagai pas tebang (lihat contoh surat kebenaran yang bertarikh tahun 1849 yang diberi kepada lapan orang peneroka Bugis untuk berkebun di Pulau Luban. 

Sementara itu ada juga perantau baru yang menyewa tanah atau bekerja dengan peneroka awal yang sudah lama sementara belum mendapat tanah. Di kawasan Kukup, kebanyakan orang Bugis adalah bermukim di Benut, Tampok dan Serkat. Dari laporan banci (sensus) penduduk tahun 1931, mendapati pekerjaan utama mereka di sini adalah sebagai pekebun kelapa, penoreh getah, peniaga, penternak dan pemandu teksi (Vlieland; 1931: 316).

Di kawasan Benut, perkampungan orang Bugis adalah terdiri dari Tampok, Parit Botak, Parit Daeng Masiga, Parit Mak Wasang, Parit Daeng Palewa, Parit Bakau, Parit Karimon, Parit Setan, Parit Hasan dan Parit Abas. Dua batu dari Benut, terdapat perkampungan Bugis di Sungai Pinggan, Parit Sayang, Parit Marjunit, Parit Asam Kumbang dan Parit Bacok. 

Di kawasan Ayer Baloi pula orang Bugis menetap di sepanjang pesisiran pantai, manakala orang Jawa tinggal di kawasan darat (pendalaman). Antara kawasan perkampungan Bugis di Ayer Baloi adalah seperti Parit Baran, Parit Wak Khatib, Parit Pinggir, Parit Wau Jala, Parit Embok, Parit Daing Perandang, Kampong Sri Bugis dan Parit Keroma. 

Dari Mukim Ayer Baloi, kebanyakan orang Bugis bercampur dengan suku Melayu lain seperti Jawa dan Melayu, sedangkan di Mukim Benut hampir kesemuanya merupakan perkampungan Bugis sahaja. Manakala di Kukup dan Serkat, petempatan Bugis juga bercampur dengan orang Jawa, Melayu dan Banjar. Antara kampung-kampung yang terkenal ialah Kampung Chokoh (Pok), Kampung Permas Kelapa dan Parit Ismail (Serkat).

Peruntukan tanah untuk berkebun, mendirikan tapak rumah dan membuka `negeri’ (kampung) pada lazimnya adalah harus melalui penghulu kerana penghulu yang bertanggungjawab untuk menghantar permohonan mereka ke Pejabat tanah. Kepada mereka yang tidak mampu, mereka dibenarkan untuk mendapatkan kemudahan pinjaman daripada penghulu (lihat surat hutang dari tiga orang peneroka Bugis yang meminjam (47.06 sen dari Wan Abdul Rahman, bertarikh 7.8.1858 yang dilampirkan). 

Secara relatifnya tanah pada zaman itu memang mudah dipohon dan kawasan hutan memang cukup luas. Oleh itu mereka yang mampu mengerjakannya dapat meneroka hutan yang lebih luas secara gotong royong bersama anggota keluarga atau rakan-rakan. Pada lazimnya peneroka awal Bugis di Pontian,  mengerjakan tanah secara berkelompok. 

Selepas selesai proses meneroka, barulah membahagikan tanah itu mengikut kemampuan penerokanya seperti yang tercatat dalam geran yang biasanya tidak lebih dari 5 ekar. (lihat contoh geran tanah no. 30909, bertarikh tahun 1924 yang dilampirkan). Dalam geran ini jelas ia dimiliki secara bersama oleh orang Bugis bernama Hj. Othman dan Lundu yang berletak di Parit Sepan. Tanah ini perlu ditanam dengan kelapa.

Pada peringkat awal tanaman utama mereka ialah jenis tanaman yang dapat mendatangkan hasil yang cepat seperti sayuran untuk makanan harian mereka. Kegigihan mereka dalam berkebun, terutama di kalangan orang Bugis Tampok dan Benut mencapai hasil yang lumayan sehingga pada dekad enam puluhan sehingga dikatakan dapat menyaingi orang China. 

Kerajinan orang Bugis menyebabkan setiap inci kebun mereka dipastikan ditanam dengan berbagai jenis tanaman yang mendatangkan hasil. Namun tanaman jangka panjang seperti getah, kopi, pinang, padi dan kelapa adalah diberi perhatian ketara. 

Oleh kerana petempatan mereka adalah di kawasan pantai, maka kelapa adalah tanaman yang paling sesuai. Secara kebetulan kelapa juga adalah tanaman utama orang-orang di Sulawesi Selatan. Malahan Sulawesi adalah salah sebuah negara yang mengeksport kelapa kering terbesar di dunia (Ooi Jin Bee, 1968: 360).

Selain dari bidang pertanian, orang Bugis di Pontian juga  turut aktif dalam kegiatan ekonomi lain. Misalnya menanam saham dalam penerbitan akhbar Utusan Melayu di Singapura. Pengasas akhbar ini ialah Emboh Suloh, seorang pengusaha Bugis di Saingapura. Beliau memang mempunyai ramai sanak saudara di Benut. 

Beliau sendiri datang ke Benut untuk mendapatkan sokongan modal dari masyarakat Bugis Benut. Adik beliau, iaitu Ambok Ghani juga turut aktif, sebagai Bendaharinya. Utusan Melayu akhirnya berjaya ditubuhkan pada 29.5.1939. Oleh kerana orang Melayu tidak sangat bergantung hidupnya kepada hasil dapat seperti getah dan bijih timah, maka pada zaman meleset kehidupan mereka tidaklah terganggu seperti di kalangan migran China dan India.

Sikap dan mentaliti Bugis untuk berdikari dalam bidang perdagangan adalah memberi dorongan untuk merubah kehidupan mereka. Misalnya selepas kemerdekaan Malaya, mereka mula berpakat untuk menyalurkan kegiatan ekonomi secara berkelompok. Mereka berjaya mendirikan sebuah kilang kopi bagi memproses kopi orang-orang kampung dan tidak bergantung kepada orang Cina di Singapura. 

Kilang kopi ini telah didirikan oleh Kooperasi masyarakat Bugis Tampok yang diketuai oleh Haji Nor bin Hj. Ahmad. Beliau juga pernah mejalankan kegiatan membuat kicap untuk keperluan penduduk tempatan. Kopi keluaran kilang ini dinamakan Kopi Bahagia.

Penduduk Tampok juga telah membina kilang untuk memproses buat kuih kelapa. Kilang ini dinamakan Kilang Jamaika. Sementara itu ada juga orang perseorangan yang berkongsi dengan rakan-rakan sekampung menubuhkan syarikat pengangkutan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan perjalanan. Misalnya  seorang yang bernama Haji Madi telah berjaya menyediakan perkhidmatan bas persiaran. 

Beliau juga berjaya membina kilang memproses minyak kelapa sendiri. Terdapat juga individu-individu yang berkecimpung dalam bidang pengusahawanan sebagai kontraktor dalam bidang binaan bangunan dan juga perparitan.

Dari perkembangan kemajuan yang sangat memberangsangkan dan membanggakan ini menunjukkan bagaimana generasi Bugis yang ada hari ini benar-benar mewarisi budaya siri. Mereka benar-benar berusaha keras untuk membina kembali martabat dari orang kurang upaya hingga mencapai status yang baru. 

Kegigihan mereka ini memang patut menjadi cotnoh kepada suku Melayu lain agar berani bersaing dan berlumba, khususnya dengan bangsa lain yang sentiasa memandang rendah terhadap pribumi. Kejayaan orang Bugis 

Pontian ini juga sekurang-kurangnya dapat membanggakan kemampuan dan kecekapan orang Melayu umumnya yang sepatutnya berpegang kepada falsafah klasiknya “di mana ada kemahuan di situ ada jalan”.

Satu lagi pencapaian positif orang Bugis Pontian ialah azam mereka untuk memajukan anak generasi baru yang perlukan pendidikan sempurna. Maka sebuah persatuan orang Bugis telah ditubuhkan pada tahun 1973 yang bermatlamat untuk:

1) Memajukan ekonomi

2) Menyatukan suku Bugis

3) Memberi kesedaran kepada penduduk tempatan akan kepentingan pendidikan dan perpaduan masyarakat.

4) Menghidupkan kembali identiti dan budaya.

Keahlian persatuan ini adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berketurunan Bugis dan berumur 18 tahun ke atas. Keahlian terbahagi kepada ahli biasa, bersekutu dan kehormat. Berdasarkan  kepada kegiatan berpersatuan ini juga membolehkan mereka lebih banyak bermuafakat, bergotong royong dan bantu membantu demi kepentingan masyarakat. 

Salah satu kegiatan yang memberi faedah besar kepada masyarakat umumnya dan ahli persatuan khasnya ialah kepekaan mereka terhadap bahasa dan aksara Bugis. Maka seorang ahli persatuan yang aktif iaitu Hj. Ambok Masek telah berusaha untuk menyusun dan mengadakan program mengadakan kelas bahasa Bugis dan juga tulisan Bugis. 

Lihat contoh risalah tentang usaha beliau seperti yang dilampirkan. Sikap dan semangat inilah sebenarnya yang dikehendaki dalam konsep hidup masso’di siri’ dan esse’ babua atau pacce’ yang mementingkan solidariti sesama kerabat dalam suku. Satu bentuk kehidupan yang mempunyai visi tentang masyarakat penyayang.

Bersambung....  Perkembangan Kemasyarakatan dan Kebangsaan (Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia)

Sebelumnya.... Pembinaan Petempatan dan Masyarakat (Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia)

Komentar
Komentar sepenuhnya menjadi tanggung jawab komentator seperti diatur dalam UU ITE. #JernihBerkomentar
  • Orang Bugis di Pontian, Johor Malaysia

Terkini

Iklan

Close x