Iklan Sponsor

Iklan

Iklan Sponsor

Iklan

terkini

Pembinaan Petempatan dan Masyarakat (Orang Bugis di Semenanjung Tanah Melayu)

arung sejarah
, 07:30 WIB Last Updated 2023-06-11T13:29:42Z
Pembinaan Petempatan dan Masyarakat (Orang Bugis di Semenanjung Tanah Melayu), Perantau dan Peneroka: Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia

ARUNGSEJARAH.COM - Pembinaan Petempatan dan Masyarakat (Orang Bugis di Semenanjung Tanah Melayu).

 

Pembinaan Petempatan dan Masyarakat

Dalam sejarah perkembangan masyarakat dan petempatan di Malaysia, ternyata bahawa peranan masyarakat Bugis adalah memang tidak boleh dinafikan. Mereka adalah antara perintis dan pembina petempatan yang awal dan berterusan sehingga zaman kolonial Inggeris. Tumpuan utama mereka adalah di negeri-negeri Melayu Selangor dan Johor seperti di kawasan pantai  Kuala Langat, Klang dan Kuala Selangor serta di daerah seperti Batu Pahat dan Pontian, Johor.

Dalam konteks sejarah perkembangan masyarakat di Malaysia, aspek merantau memang masih kurang mendapat perhatian kerana pernah diredupkan oleh aspek migrasi di kalangan imigran dari China dan India. Sedangkan dalam sejarah pertambahan penduduk Melayu, sebenarnya aspek merantau sangat penting, kaitan rapatnya dengan pembangunan dan pembinaan kampung serta masyarakat Melayu yang sentiasa datang berulang alik antara tanah seberang di Kepulauan Melayu. Proses berulang alik dan belayar  inilah sebenarnya yang turut membentuk hubungan rapat antara pelbagai pulau di Nusantara yang mana masyarakat dagang dan perantau bebas untuk meneroka tanah sama ada bertujuan menetap atau sementara. 

Dalam zaman kolonial Belanda dan Inggeris di Nusantara khususnya, walaupun kerajaan Melayu sudah banyak yang musnah, namun budaya, tradisi, bahasa, nilai-nilai hidup, sistem kepercayaan dan agama mereka pada umumnya masih utuh. Walaupun pihak kolonial mula memperkenalkan dasar monopoli dan berbagai undang-undang baru dari barat namun kebiasaan rumpun Melayu untuk berinteraksi dan integrasi antara sesama suku tetap berjalan dengan baik.

British di Malaya melalui dasar buka pintunya kepada imigran asing dan penghijrah dari Kepulauan Melayu telah menyebabkan munculnya pelbagai kaum dan masyarakat yang ditempatkan di kawasan yang berasingan. Perantau dan peneroka Melayu dari alam Melayu, termasuk Bugis yang datang pada zaman kolonial British turut berpartisipasi dalam pembangunan kolonial tersebut. Mereka adalah antara kumpulan peneroka yang memang digalakkan oleh Inggeris agar membangunkan kawasan luar bandar. 

Di negeri-negeri Melayu seperti Selangor yang memang telah lama didatangi oleh orang Bugis telah memperkenalkan dasar yang liberal terhadap penerokaan tanah untuk orang-orang Melayu yang diiktiraf sebagai pribumi. British telah menjalankan beberapa langkah seperti memberi bantuan kewangan, meluluskan segera permohonan tanah kepada peneroka Melayu yang berkeluarga, memberi bantuan benih tanaman dan binatang ternakan dan mengecualikan cukai tanah yang baru diteroka pada tiga tahun pertama dan boleh diberi kelonggaran pada tiga tahun kedua sekiranya tidak mampu untuk membiayai quit rent

Adanya langkah-langkah yang menggalakkan ini menyebabkan ramai kumpulan perantau Melayu dari segenap pulau di Nusantara khasnya Kalimantan (Banjarmasin), Sulawesi (Bugis), Jawa, Sumatera (Minangkabau, Mandiling, Rawa, Kerinci, Kampar, Palembang, Riau, Aceh) dan Boyan (Bawean). Sejak abad 19 pentadbiran British telah merekodkan jumlah kedatangan suku-suku Melayu dari Kepulauan yang mendarat di Singapura, Melaka atau Pulau Pinang. Begitu juga laporan sensus (bancian penduduk) turut dilakukan sejak awal abad ke-19 di negeri-negeri Selat, kemudiannya di negeri-negeri Melayu Bersekutu dan akhirnya merangkumi seluruh Tanah Melayu dari tahun 1911 sehingga 1957. 

Jadual berikut adalah bilangan penduduk Melayu di Semenanjung dari tahun 1891 hingga 1947.

Jadual I: Penduduk Melayu di Semenanjung Tanah Melayu: 1891-1947
 

Pembinaan Petempatan dan Masyarakat (Orang Bugis di Semenanjung Tanah Melayu), Perantau dan Peneroka: Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia
 

Berdasarkan kepada perangkaan jadual di atas menunjukkan bahawa bilangan orang Bugis menduduki tempat kelima selepas orang Boyan, Sumatera, Banjar dan Jawa. Kemungkinan faktor kedudukan Sulawesi yang agak jauh berbanding dengan Pulau-pulau lain yang lebih dekat menjadi faktor yang membezakan bilangan mereka dengan etnik lain. 

Walau bagaimanapun yang penting di sini ialah kesanggupan, kemampuan dan kecekalan mereka untuk belayar, berdagang dan merantau ke Semenanjung sehingga dapat berperanan membuka petempatan kekal. Perangkaan penduduk yang dikemukakan oleh pihak Belanda dalam Volkstelling, 1930, vol. V, halaman 20-21, kelihatannya bilangan orang Bugis di Malaya hanya 4,961 orang dan Makasar pula hanya 23 orang berbanding dengan perangkaan sensus 1931 (Malaya) yang mendapati kira-kira 10,000 0rang Bugis. 

Namun perkiraan Andi Zainal Abidin tentang bilangan orang Bugis di Singapura pada abad 19 ada  kira-kira 2,000 hingga 3,000 orang itu ada benarnya. Walaupun  menurut sensus tahun 1891 mereka berjumlah 2,168 orang adalah merangkumi keseluruhan negeri-negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang).

Pada umumnya orang Bugis di Malaysia adalah berasal dari Wajo’. Mereka adalah mempunyai latar belakang sebagai petani, namun ada juga sebahagiannya yang terdiri dari kaum pedagang. Antara tokoh pedagang Bugis yang terkenal di Singapura yang menjadi pemimpin masyarakat Melayu Singapura ialah Haji Embok Suloh. Pada akhir abad 19 ayah dan bapa saudaranya memiliki ladang gambir dan lada hitam di Borneo dan Sumatera (Roff, 1964: 78, Warta Ahad, 1941: 21; Penyuluh, 1924: 102-103). 

Peranan orang Bugis sebagai peneroka dan pembuka petempatan adalah sebenarnya selari dengan semangat dan sikap para perantau dan peneroka Melayu di tanah seberang yang berjiwa dinamik dan positif. Dinamika kehidupan mereka dapat diperlihatkan melalui pembinaan dan mengorganisasi masyarakat di tempat baru. 

Walaupun pada lazimnya petempatan kampung Melayu dibina atas dasar suku masing-masing, namun interaksi dan integrasi antara kampung yang berlainan suku tiada masalah  kerana mereka sering bertemu di mesjid, tempat pekerjaan, pejabat kerajaan khususnya pejabat tanah, sekolah, madrasah dan lain-lain. Kemunculan kawasan perkampungan Bugis di merata tempat di Selangor dan Johor khasnya sebenarnya memang turut membantu pembangunan luar bandar, iaitu kawasan yang memang termasuk dalam program pembangunan kolonial. 

Ini bermakna bahawa orang Melayu memang terlibat secara langsung dalam pembangunan kolonial itu, namun kerana kawasan pembangunan mereka tidak berhubung rapat dengan pasaran antarabangsa, maka kedudukan mereka sentiasa terpinggir dan tertinggal berbanding dengan masyarakat imigran khasnya Cina di kawasan bandar dan perlombongan yang terdedah kepada teknologi dan peluang-peluang baru.  Namun peranan mereka sebagai peneroka, pekebun dan pengusaha petempatan baru telah berjaya dilaksanakan yang menurut pandangan Mahathir bahawa setiap individu di Malaya pada zaman kolonial ada peranan mereka yang tersendiri (Mahathir, 1982 ). 

Oleh itu adalah tidak adil sekiranya peranan mereka kurang dihargai sebagaimana kenyataan seorang sarjana, “… From the point of view of the development of the country, the part they played has been a minor one compared with that of the Chinese and Indians” (Chai Hon Chan; 1967: 98).  Sedangkan untuk membina kampung baru bukanlah pekerjaan yang mudah dan memakan masa yang pendek. Namun kejayaan orang Bugis membuka petempatan di Selangor dan Johor sebenarnya adalah merupakan kejayaan diri, keluarga dan masyarakat dalam menegakkan dan membangun kembali siri’ mereka. 

Di kalangan kumpulan peneroka awal ini lazimnya mereka sering didorong oleh sanksi-sanksi sosial (social sanction) budaya untuk sentiasa menghormati kebesaran Tuhan, harga diri, kehormatan dan martabat diri. Atas kesedaran inilah juga yang membolehkan setiap individu Bugis tidak hanya membangun siri’nya, tetapi juga terhadap orang lain. Misalnya melalui hubungan sosial, kesopanan dan menghormati orang lain. 

Faktor ini tentunya dapat mengembangkan rasa solidariti dan integrasi budaya. Aspek ini juga yang membolehkan para peneroka awal dapat menjalin hubungan dengan penduduk sekitar atau masyarakat peneroka baru dari suku Melayu lain, misalnya suku Jawa dan Banjar yang ramai di Selangor dan Johor. Kegigihan mereka untuk membina petempatan baru dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Sikap yang tidak fatalistik ini membolehkan mereka berjaya kerana berpegang kepada ajaran Islam bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang kecuali ia mengubah dirinya sendiri.

Bersambung....  Orang Bugis di Pontian, Johor Malaysia

Sebelumnya.... Perantau dan Peneroka: Partisipasi Orang Bugis dalam Pembinaan Petempatan di Tanah Seberang Semenanjung Malaysia

Komentar
Komentar sepenuhnya menjadi tanggung jawab komentator seperti diatur dalam UU ITE. #JernihBerkomentar
  • Pembinaan Petempatan dan Masyarakat (Orang Bugis di Semenanjung Tanah Melayu)

Terkini

Iklan

Close x